Apr 06, 2025 - FASSelangor FC berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Terengganu FC di minit-minit akhir perlawanan Liga Super 2024/25 semalam.
Perlawanan yang sama ‘liat’, skuad Gergasi Merah terdahulu membuat percubaan dalam sepuluh minit terawal terutamanya daripada Ronnie Fernandez, Faisal Halim dan Alvin Fortes. Namun, minit ke-40, Safawi Rasid memberi debaran di separuh masa pertama dengan percubaan beliau yang hampir tembus masuk ke gawang tetapi terkena tiang. Aksi separuh masa kedua kekal dengan berbalas serangan. Pada minit ke-87, Faisal Halim membuat hantaran ke dalam kotak menemui Alvin Fortes, kemudian Fortes menggelecek bola ke hadapan dan merembat masuk gol tunggal aksi #SFCTER dengan kaki kirinya yang melepasi Rahadiazli Rahalim. Perlawanan #SFCTER berakhir dengan keputusan 1-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Menurut ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, beliau berpuas hati dengan mentaliti yang ditunjukkan oleh para pemain bagi mendapatkan kemenangan.
"Ini adalah 3 mata yang sangat penting bagi kami. Pemain telah berjuang sebagai sebuah pasukan, walaupun ada beberapa pemain yang tidak dapat minit permainan yang banyak tetapi mereka memahami peranan masing-masing, melaksanakan taktikal dengan , membuat blok yang penting, dan memastikan perlawanan berakhir dengan tanpa bolos. Selain itu, pemain juga membuat banyak larian membuktikan kerja keras mereka. Saya bangga dapat saksikan bola sepak seperti ini, dan saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain. Sejak tewas kepada Kuching City tempoh hari, kami menjalani latihan yang sangat baik, yang membawa kepada kemenangan ini, membuktikan mentaliti mereka di tahap yang baik. Mereka menunjukkan kerjasama dengan baik sebagai satu pasukan,” bangga Kinoshi.
Daripada perlawanan #SFCTER dalam perlawanan kedua terakhir saingan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Kapten dan Man of The Match; Faisal Halim
Faisal Halim telah berusaha keras untuk mendapatkan semula corak permainannya, beliau jelas semakin menghampirinya. Beberapa percubaan serta hantaran baik beliau berjaya lakukan. Semalam tampil sebagai kapten pasukan dalam perlawanan #SFCTER semalam bagi menggantikan Safuwan Baharudin yang mengalami kecederaan di bahagian hamstring. Kinoshi kongsikan kenapa beliau dipilih menjadi kapten, "Saya memberikan kepercayaan kepada Mickey (Faisal) untuk menjadi kapten kerana mentalitinya yang dimilikinya. Dalam perlawanan, kedua-dua kakinya kekejangan, tetapi apabila saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh berlari, jawapan beliau adalah ‘saya mahu berlari’. Mentaliti seperti inilah yang menjadikannya seorang pemimpin yang baik."
Alvin Fortes terus jaringkan gol
Fortes antara pemain import 2024/25 yang berjaya membuat namanya menjadi sebutan di kalangan para peminat. Kelebihan dalam menggelecek bola, mengawal bola, larian yang pantas serta ketajaman beliau di hadapan gawang telah menambah kekuatan skuad Gergasi Merah. Setakat ini, beliau telah menjaringkan 19 gol termasuk gol tunggal perlawanan #SFCTER semalam. Kemasukan Fortes pada minit ke-30 semalam telah menjadikan gandingan Faisal-Fortes sebagai bualan. Kedua-dua mereka saling bantu satu sama lain dalam membuat gerakan serangan di hadapan gawang Sang Penyu.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada ke semua pemain termasuk penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang. Ketua Jurulatih Selangor FC menyatakan kemenangan ini adalah daripada kerjasama mereka di atas padang.
Seterusnya, perlawanan terakhir Selangor FC dalam saingan Liga Super 2024/25 akan berlangsung pada 19 April menentang PDRM FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada jam 8:15 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 2,453 penyokong mewarna-warnikan Stadium MBPJ dengan busana raya masing-masing.
Demi Kebanggaan!